top of page

207. PM pelawa doktor buat aduan sertai kumpulan penasihat Covid-19

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memutuskan untuk menubuhkan sebuah kumpulan penasihat kesihatan dan saintifik yang akan menasihatkan kerajaan mengenai perkara berkaitan pandemik Covid-19.


Dalam respons terhadap surat sekumpulan pakar kesihatan yang memberikan cadangan, idea dan pandangan berkaitan pengurusan pandemik Covid-19 di Malaysia, Muhyiddin berkata, kerajaan sudah mempertimbangkan kebimbangan mereka dan mahu memasukkan mereka dalam perkara berkaitan pnademik itu.


“Saya ingin mengalu-alukan pencalonan wakil yang menandatangani surat anda untuk menemui menteri kesihatan, penasihat khas saya mengenai kesihatan awam serta saya, bersama pegawai kanan berkaitan.


“Saya akan terbuka untuk mendengar nasihat dan idea anda supaya kita semua dapat bersama mengurangkan jumlah jangkitan dan kesan selanjutnya ke atas kehidupan rakyat.



“Saya setuju membentuk Kumpulan Penasihat Kesihatan dan Saintifik Covid-19 yang akan menasihatkan kerajaan mengenai perkara berkaitan pengurusan pandemik Covid-19, dan saya menyeru anda mencalonkan wakil sesuai untuk menjadi anggota kumpulan penasihat ini,” katanya dalam kenyataan.


Surat itu disahkan 46 pakar dalam bidang masing-masing, yang bimbang dengan status terkini penularan Covid-19 di negara ini.


Surat itu mencadangkan 10 tindakan segera dan doktor menggesa kerajaan segera mempertimbangkannya dengan serius bagi mengurangkan kesan buruk pandemik itu, melindungi nyawa dan pendapatan rakyat serta memulihkan ekonomi negara.


Muhyiddin berkata, ketua pengarah kesihatan memberi respons terhadap sejumlah tindakan yang dibangkitkan dalam surat itu dan “mengesahkan banyak kebimbangan dibangkitkan dan cadangan yang dibuat sudah atau dalam proses ditangani”.



Beliau turut memberi reaksi terhadap perkara terakhir dalam surat itu yang menggesa beliau tidak mempolitikkan pandemik itu.


“Saya akan terus mengetepikan politik, fokus berusaha mengakhiri pandemik ini dan memimpin negara melalui pemulihan sukar yang akan menyusul. Saya menghargai hasrat anda untuk menyokong kerajaan dalam perkara ini dan menanti untuk berhubung dengan wakil anda.”

0 views0 comments
bottom of page