KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk meneliti dan membuat penilaian terhadap vaksin buatan Pfizer-BioNTech.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba mengeluarkan arahan berkenaan susulan laporan kematian 23 individu berusia 80 tahun ke atas di Norway selepas disuntik vaksin COVID-19 itu.
"Saya telah arahkan NPRA untuk menilai laporan tersebut. Buat masa ini saya belum ada sebarang perincian lagi," katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Dalam perkembangan yang membimbangkan, 23 warga emas meninggal dalam waktu singkat setelah menerima suntikan vaksin coronavirus pertama mereka di Norway.
Bagaimanapun, belum ada pengesahan sama ada terdapat hubungan langsung antara suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dan kematian itu.
Walaupun hubungan langsung antara suntikan vaksin dan kematian tersebut masih belum diketahui, beberapa pakar mengatakan bahawa 13 dari 23 orang yang meninggal menunjukkan kesan sampingan vaksin mRNA yang biasa seperti cirit-birit, mual dan demam.
Institut Kesihatan Awam Norway telah mengeluarkan amaran supaya vaksin itu tidak diberi kepada warga emas berusia lebih 80 tahun dengan mengatakan bahawa mereka yang mempunyai jangka hayat yang pendek mungkin tidak mendapat banyak manfaat dari suntikan itu.
Mengulas lanjut, pengawal selia kesihatan Norway itu berkata kepada Bloomberg, kesan sampingan vaksin yang agak ringan boleh membawa akibat yang serius kepada individu yang mempunyai tahap kesihatan yang rendah.
Pfizer dan BioNTech kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk menyiasat kematian tersebut.
Comments