KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) – Malaysia mungkin berdepan risiko pembatalan perjanjian pembelian dan perolehan vaksin COVID-19 sekiranya negara didapati melanggar syarat kerahsiaan ditetapkan syarikat pengeluar vaksin.
Menjelaskan perkara itu, seorang peguam, Wan Azmir Wan Majid, berkata jika syarat kerahsiaan atau perjanjian kerahsiaan (NDA) adalah cadangan daripada pengeluar vaksin, negara tiada pilihan selain mematuhinya.
Beliau berkata, jika berlaku pelanggaran syarat ditetapkan, pihak yang memungkiri boleh dikenakan tindakan dan perjanjian utama (perjanjian pembelian vaksin) boleh dibatalkan.
"NDA adalah satu kontrak yang termaktub terma merahsiakan sesuatu perkara atau perbuatan. Kesan obligasi kerahsiaan yang tidak dirahsiakan akan juga termaktub dalam NDA itu.
"Semua terma akan tertulis dalam NDA termasuk akibat kemungkiran (ingkar) kepada NDA itu," katanya.
Wan Azmir juga tidak menolak kemungkinan kerajaan berdepan risiko lain termasuk disaman pengeluar vaksin jika didapati melanggar syarat itu.
Justeru, beliau berkata, perlu difahami ada perkara boleh didedah kepada umum dan ada yang perlu dirahsiakan mengikut syarat dalam perjanjian yang dipersetujui.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada sidang media perkembangan perolehan vaksin COVID-19 di Putrajaya hari ini, berkata beliau sedia memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan pemerolehan vaksin COVID-19, termasuk kosnya secara terperinci.
Bagaimanapun, beliau berkata ahli jawatankuasa itu perlu mematuhi syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluar vaksin kerana Malaysia tertakluk dengan syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat terbabit.
Katanya, syarat kerahsiaan itu dibuat syarikat pengeluar vaksin, justeru jika berlaku pelanggaran syarat, ia akan menjejaskan perjanjian dengan syarikat terbabit.
Isu berkaitan pemerolehan vaksin COVID-19 turut mendapat perhatian masyarakat khususnya dalam kalangan pengguna media sosial yang antara lain mahu kerajaan lebih telus dengan mendedahkan perjanjian pemerolehan vaksin. - BERNAMA
Vaksin: Malaysia perlu bayar pendahuluan RM94.08 juta
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menjelaskan bayaran pendahuluan dan jaminan perkongsian risiko berjumlah RM94.08 juta untuk menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, bagaimanapun berkata buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memuktamadkan tarikh menandatangani perjanjian itu bersama Pakatan Vaksin Global (GAVI).
"Jemaah Menteri pada 14 Oktober lalu bersetuju Malaysia menyertai fasiliti COVAX yang bakal memberi jaminan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi Malaysia. Jemaah Menteri juga bersetuju supaya KKM mewakili kerajaan untuk memuktamadkan perjanjian terbabit.
"Jabatan Peguam Negara juga ditugaskan untuk menyemak terma serta syarat-syarat perjanjian yang ditetapkan GAVI. Selepas dibuat proses semakan, Jemaah Menteri memutuskan pada 13 November lalu supaya Malaysia, melalui KKM memuktamadkan penyertaan dalam COVAX dengan menandatangani perjanjian 'Optional Purchase Arrangement'.
"Keputusan untuk Malaysia menyertai fasiliti ini akan membabitkan kos yang merangkumi bayaran pendahuluan dan jaminan perkongsian risiko berjumlah AS$22,656,200 atau secara anggarannya RM94.08 juta," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta kerajaan menyatakan kos penyertaan Malaysia ke dalam COVAX.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, jaminan akses awal kepada bekalan vaksin COVID-19 adalah penting untuk melindungi rakyat daripada penularan wabak itu dan seterusnya membantu merancakkan ekonomi negara.
"Penyertaan Malaysia dalam platform multilateral, COVAX adalah pendekatan pelbagai hala yang bakal membuka ruang untuk negara mempelbagaikan pilihan serta mengurangkan risiko berbanding memberikan tumpuan kepada kaedah bilateral sahaja dalam pemerolehan vaksin COVID-19," katanya.
Commentaires